Tugasan Kumpulan: Penulisan Artikel (PdP Abad ke-21)




FAKULTI PENDIDIKAN

INOVASI DAN TEKNOLOGI DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN (GGGA2123)

 

TAJUK:

TUGASAN KUMPULAN ARTIKEL 

 

NAMA PENSYARAH:

LT. KOL. PROF MADYA MOHD JASMY ABD RAHMAN

 

NAMA AHLI KUMPULAN:  

KHAIRUNNISA AFRINA BINTI ASMAZAIDI (A192602 )

NURJIHAN BINTI MOHD AZRAI (A192826 )

MOHAMAD KHAIRUL ANAM BIN MASRUMI (A193368 )

 MUHAMMAD ANUAR BIN AB. GHANI (A192878)

PRASHANTHINI MUTHU (A193757)







ISU-ISU BERKAITAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN (PDP) ABAD 21


KHAIRUNNISA AFRINA BINTI ASMAZAIDI, NURJIHAN BINTI MOHD AZRAI, MOHAMAD KHAIRUL ANAM BIN MASRUMI, MUHAMMAD ANUAR BIN AB. GHANI, PRASHANTHINI MUTHU

Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

E-mel: a192602@siswa.ukm.edu.my

            a192826@siswa.ukm.edu.my

            a193368@siswa.ukm.edu.my

           a192878@siswa.ukm.edu.my

            a193757@siswa.ukm.edu.my


ABSTRAK

Kajian ini dijalankan bagi mendapatkan respon dan pendapat daripada murid dan pelajar yang kini atau pernah menjalani Pengajaran dan Pembelajaran (PDP) abad 21. PDP abad 21 ini menjadi topik hangat di dalam dunia pendidikan. Perkara ini dapat dilihat apabila ia mampu membawa kepada perubahan baru dalam sistem pendidikan di negara ini. PDP abad 21 berkonsepkan pembelajaran yang berpusatkan murid. Elemen di dalam PDP abad 21 dikenali sebagai standard asas dalam pengajaran dan pembelajaran abad 21 (PAK21) iaitu “communication” (komunikasi), “collaboration” (kolaborasi), “critical thinking” (pemikiran kritis), dan “creativity” (kreativiti). Namun begitu, tujuan kajian ini adalah bagi menghuraikan tentang isu-isu yang wujud semasa menjalankan PAK21 ini. Oleh itu, sebuah soal selidik telah diedarkan bagi mendapatkan respon dan pendapat daripada responden yang terdiri daripada murid dan pelajar. Melalui kajian ini, isu-isu yang berlaku dan dialami oleh guru, pelajar dan murid dapat dikenalpasti. Isu ini perlu diketengahkan kerana era kini memerlukan generasi Z untuk mempunyai nilai kebolehpasaran kerja yang tinggi. Oleh itu, kajian ini dapat menunjukkan cabaran yang dialami oleh tenaga pengajar dan murid serta kekangan prasarana bagi menjalankan PDP abad ke-21.

Kata Kunci: PDP abad 21, PAK21, isu-isu









PENGENALAN

Menurut Pendidik2u, Marc Prensky memperkenalkan istilah “pribumi digital” dan “pendatang digital” untuk merujuk kepada generasi yang membesar dengan teknologi dan generasi yang tidak membesar dengan teknologi. Menurut Prensky, guru dan pendidikan perlu menyesuaikan gaya pembelajaran generasi baharu dengan memanfaatkan alatan digital dan media baharu dalam proses pembelajaran.

Buku "21st Century Skills: Learning for Life in Our Times" oleh Bernie Trilling dan Charles Fadel membincangkan kemahiran-kemahiran penting yang diperlukan dalam abad ke-21. Buku ini menekankan pentingnya kemahiran kreativiti, pemikiran kritis, kolaborasi, dan komunikasi dalam menghadapi cabaran-cabaran semasa. Menurut buku ini, pembelajaran dalam abad ke-21 haruslah menitikberatkan pada pembangunan kemahiran-kemahiran tersebut, selain daripada pengetahuan akademik. Pembelajaran tidak lagi hanya tentang menghafal fakta-fakta, tetapi juga tentang bagaimana untuk menggunakan maklumat, berfikir secara kreatif, menyelesaikan masalah, dan berkomunikasi secara efektif. Buku ini juga menekankan penggunaan teknologi dalam pembelajaran, serta bagaimana teknologi boleh digunakan untuk memperkukuhkan pembelajaran berpusatkan pelajar dan pembelajaran aktif.


Menurut buku Pendidikan Abad ke-21: Ke Arah Pembudayaan Kemahiran Berfikir Kritis dan Kreatif, pula pendidikan abad ke-21 seharusnya menekankan pembudayaan kemahiran berfikir kritis dan kreatif dalam setiap aspek kurikulum dan pengajaran. Pembelajaran tidak lagi hanya berkisar pada penerimaan maklumat, tetapi juga pada keupayaan untuk menganalisis, menilai, dan mencipta penyelesaian yang inovatif terhadap masalah yang kompleks. Buku ini turut membincangkan strategi pengajaran yang boleh digunakan untuk memupuk kemahiran berfikir kritis dan kreatif dalam kalangan pelajar, serta pentingnya guru sebagai fasilitator dalam proses pembelajaran ini.


Pandangan tokoh terhadap pembelajaran dan pengajaran dalam abad ke-21 sangat penting dalam menentukan arah pendidikan moden. Ramai tokoh pendidikan dan pemikir telah memberi pandangan yang berharga mengenai perkara ini. Antara tokoh yang memberi pandangan penting mengenai pembelajaran dan pengajaran abad ke-21 termasuklah Sir Ken Robinson, Yong Zhao, dan Howard Gardner.


Pandangan tokoh-tokoh ini memberi wawasan yang berharga mengenai arah pendidikan abad ke-21 yang lebih sesuai dengan keperluan semasa dan masa depan. Mereka menekankan kepentingan untuk menyokong pembangunan kemahiran kreativiti, inovasi, kepelbagaian, dan kesesuaian dengan keperluan individu dalam konteks global yang berubah dengan cepat.




OBJEKTIF KAJIAN 

Kajian ini mempunyai tiga objektif yang ingin dicapai, iaitu:


  1. Mengenal pasti tahap penguasaan para pendidik terhadap Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK).


  1. Mengenal pasti jurang digital dan pendidikan antara pelajar di bandar dan luar bandar.


  1. Mengenal pasti isu kemudahan makmal komputer yang terhad.


ISU 

Penguasaan Para Pendidik Terhadap Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK)


Dalam usaha kerajaan mentransformasikan sistem pendidikan di Malaysia, kaedah pembelajaran yang dahulunya lebih berpusatkan pelajar telah digantikan dengan pembelajaran berpusatkan pelajar yang lebih relevan dengan generasi abad ke-21. TMK merupakan salah satu kemahiran yang perlu dikuasai oleh guru dalam pembelajaran abad ke-21. Kajian membuktikan penggunaan TMK di sekolah mengubah kaedah PdP (Kaffash et al. 2010). Secara umumnya, kanak-kanak mampu belajar dengan cepat bagaimana menggunakan kemudahan dan membangunkan kemahiran TMK . Menurut Johari dan Siti Norazlina (2016), masih ramai guru yang berkhidmat di kawasan luar bandar dan jarang menggunakan komputer serta TMK dalam proses PdP sedangkan mereka telah diberi kemudahan komputer di sekolah.


Berdasarkan kaji selidik yang diedarkan, terdapat peratusan yang agak tinggi akan penguasaan pembelajaran abad ke-21 dalam kalangan pendidik. Hal ini jelas bahawa guru tidak dilengkapi dengan kefahaman penggunaan TMK dalam sesuatu projek yang diusahakan dan menghadapi masalah teknikel semasa perisian bahan TMK tersebut. Keterbatasan guru dalam penggunaan TMK juga disebabkan oleh perkakasan atau perisian yang disediakan tidak disertakan dengan latihan dan khidmat sokongan untuk sekolah seperti juruteknik untuk menyelenggara peralatan (KPM 2013). Selain itu, penyediaan latihan dan sokongan lazimnya tidak berterusan dan berkekalan sedangkan bahan perisian TMK dan perkakasan semakin hari semakin canggih (KPM 2013)


Guru-guru juga bukan sekadar perlu menguasai kemahiran TMK, tetapi kemahiran pedagogi juga perlu dikuasai. Kaedah PdP kolaboratif dikenalpasti memenuhi ciri-ciri pembelajaran abad ke-21. Pembelajaran kolaboratif ialah pembelajaran berasaskan projek, pembelajaran berasaskan masalah, dan inkuiri penemuan dan pembelajaran berasaskan modul. Menerusi kaedah-kaedah ini, komunikasi dan interaksi antara guru dengan pelajar dan interaksi antara pelajar dengan pelajar, serta pelajar dengan bahan mampu membantu pelajar membina pengetahuan dan meneroka pengetahuan yang diperoleh. Oleh itu, guru perlu mahir dan berketerampilan dalam pedagogi abad ke-21 ke arah merealisasikan hasrat KPM. Peranan guru dalam proses PdP adalah sebagai fasilitator dan pembelajaran adalah berpusatkan pelajar.


Banyak dapatan kajian menunjukkan pembelajaran kolaboratif seperti pembelajaran berasaskan masalah dan inkuiri penemuan memberi impak yang positif kepada sikap, motivasi mahupun pencapaian pelajar. Zahara dan Suzela (2011) mendapati pelajar berubah kepada sikap yang positif terhadap suatu mata pelajaran terutama aspek keyakinan diri. Sikap positif lain yang terbentuk melalui proses pembelajaran kooperatif termasuk bekerjasama, menghormati pandangan orang lain, berkongsi pendapat dan idea, dan bertanggungjawab terhadap tugas yang dipikul dalam kumpulan masing-masing. Dapatan bertepatan dengan hasil kajian Nik Zarini dan Salmiza (2021) yang mendapati pengajaran secara pendekatan inkuiri penemuan dalam mata pelajaran Kimia memberi kesan terhadap skor pencapaian pelajar dan sikap mereka terhadap pelajaran itu.


 Isu Jurang Digital dan Pendidikan Antara Pelajar Di Bandar dan Luar Bandar


Berdasarkan borang soal selidik yang diedarkan, terdapat peratusan yang cukup tinggi berkaitan literasi digital dalam kalangan pelajar khususnya para pelajar di luar bandar. Jurang pengetahuan pelajar di luar bandar dan di bandar juga merupakan isu dalam melaksanakan pembelajaran abad ke-21. Umum mengetahui bahawa pelajar di luar bandar mempunyai pengetahuan literasi teknologi yang sangat terhad, berbanding pelajar di bandar yang mempunyai tahap literasi teknologi yang luas. Faktor ini disebabkan oleh jurang pendidikan ibu bapa yang menyebabkan pelajar di luar bandar sukar untuk mendapatkan pengetahuan literasi teknologi yang baik. Kajian yang dijalankan oleh Sumarni (2017) mendapati hanya 20% pelajar yang dikaji memiliki komputer sendiri. Majoriti pelajar (72.5%) pengguna TMK kurang daripada satu jam dalam tempoh seminggu. Kajian juga secara tidak langsung menyatakan bahawa kebanyakan pelajar di luar bandar mengalami situasi yang sama, di mana pembelajaran abad ke-21 harus dilaksanakan setelah isu-isu lain telah diselesaikan.


Kemudahan Makmal Komputer Yang Terhad


Berdasarkan borang selidik yang diedarkan, terdapat peratusan yang tinggi berkaitan standard prasarana abad ke-21 yang belum sepenuhnya dalam keadaan yang optimum. Buktinya saiz makmal komputer yang terhad serta tidak dapat menampung dengan jumlah pelajar di dalam suatu kelas menyebabkan pembelajaran menggunakan komputer seperti VLE Frog, Google Classroom, Flipped Classroom, Kahoot, dan lain-lain perisian tidak dapat dilaksanakan dengan efektif dan menyeluruh. Pelajar perlu mengambil giliran untuk menggunakan komputer. 


Hal ini menimbulkan masalah apabila terdapat komputer yang bermasalah dan rosak. Guru-guru perlu mengambil giliran untuk menggunakan makmal komputer bagi prose PdP kerana terdapat sebuah komputer sahaja yang perlu menampung jumlah pelajar yang hampir begitu ramai. Hal ini menunjukkan bahawa pelajar tidak akan menggunakan makmal komputer setiap hari dan terpaksa menunggu giliran yang lama untuk menggunakan.


Kekurangan perkakasan yang terkini merupakan salah satu daripada masalah utama yang dihadapi dalam penggunaan komputer di sekolah. Komputer yang ada di kebanyakan sekolah terdiri daripada perkakasan teknologi lama, rendah kualiti dan tidak berupaya menjalankan program PdP yang terkini. Dua komponen utama untuk menggunakan komputer secara berkesan ialah perkakasan dan perisian. Jika kualiti perisiannya baik tetapi menggunakan perkakasan lama dan rendah keupayaannya, adalah tidak berguna dan begitulah sebaliknya.




PERBINCANGAN


Secara keseluruhan Pengajaran dan Pembelajaran Abad 21 ini perlu diketengahkan kerana ia merupakan sebuah PDP pada zaman moden. Oleh itu, kajian ini mendapati bahawa 60% responden bersetuju bahawa mereka mempunyai pemahaman berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21. Seterusnya, dalam dapatan kajian ini, sebanyak 92% bersetuju bahawa penggunaan laptop atau gajet pada abad ke-21 dalam pembelajaran dapat membantu dalam mengabangkan kemahiran berfikir secara kritis. Menurut Tuan Rahayu Tuan Lasan (2017), kemahiran berfikir merupakan satu agenda utama dalam sistem pendidikan di Malaysia serta ia termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara (FPK) dan sangat diutamakan dalam kurikulum pengajaran abad ke-21. Berdasarkan kajian beliau, nilai minimum bagi setiap item pengetahuan murid kepada KBAT dalam mata pelajaran Tasawwur Islam adalah tinggi. Ini menunjukkan bahawa murid mempunai pengetahuan KBAT yang tinggi dan telah didedahkan kepada KBAT sesama sesi pengajaran dan pembelajaran.


PDP abad ke-21 menggunakan konsep pembelajaran berpusatkan murid dan guru sebagai pembimbing. Oleh itu, sebagai seorang pembimbing perlulah mempunyai tahap penguasaan PDP abad ke-21 yang tinggi agar sesi PDP dapat berjalan dengan lancar. Berdasarkan dapatan kajian, sebanyak 80% responden bersetuju bahawa para pendidik perlu mempunyai tahap penguasaan PDP abad ke-21 yang tinggi. Dapatan kajian ini selari dengan kajian yang telah dijalankan oleh Shabibah binti Shaufit Affandi (2019) yang mengkaji pelaksanaan Pendidikan Abad ke-21. Berdasarkan kajian tersebut dapat dirumuskan bahawa guru yang mengajar memiliki tahap pengetahuan yang tinggi dalam Pendidikan Abad ke-21 (PAK21) apabila mereka menunjukkan pengetahuan yang tinggi semasa sesi pengajaran dan pembelajaran.


Kajian ini juga mendapatkan maklumat berkaitan standard prasarana abad ke-21 di institusi pendidikan responden dan sebanyak 72% bersetuju bahawa prasarana mereka dalam keadaan baik. Prasarana merupakan aspek penting dalam pengajaran dan pembelajaran dan ia menjadi salah satu keperluan bagi tenaga pengajaran dan murid. Menurut Mohd Tafizam Mohd Taib (2017), kemudahan prasarana yang baik dapat merangsang guru menggunakan pelbagai sumber yang sesuai untuk membantu mereka menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran. Kemudahan yang dimaksudkan ini bukan sahaja bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran, tetapi ia juga merangkumi segala aspek yang berada di persekitaran sekolah termasuk bilik darjah yang kondusif, alat bantu mengajar, bahan bantu mengajar, bengkel dan peralatan, bahan rujukan, dan makmal.


Berdasarkan dapatan kajian, sebanyak 96% bersetuju bahawa penggunaan teknologi dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran abad ke-21 mempengaruhi perkembangan kemahiran digital pelajar pada dunia pekerjaan masa depan. Hal ini kerana penggunaan teknologi moden ini sangat penting untuk memastikan murid tidak ketinggalan zaman dan sentiasa mengikut peredaran zaman. Menurut Bolstad dan Gilbert (2012), konsep pembelajaran abad ke-21 mencerminkan ketidakstabilan, ketidakpastian dan kerumitan. Dalam artikel penulisannya, ia merujuk kepada pengajaran dan pembelajaran yang menyediakan golongan muda untuk terlibat dalam dunia yang kompleks dan dinamik yang sangat dipengaruhi oleh globalisasi dan revolusi dalam teknologi digital. 


Melalui pembelajaran abad ke-21, pelajar menjadi lebih mahir dalam menggunakan teknologi dan alat digital dan dapat membekalkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan dalam era digital. Sebanyak 96% responden bersetuju dengan pernyataan ini membuktikan melalui pengetahuan dan pengalaman mereka dalam menjalani PDP abad ke-21 ini telah membantu meningkatkan kemahiran penggunaan teknologi canggih. Menurut kajian Nur Fatin Shammi Che Ibrahim (2020), majoriti pelajar memberikan persepsi yang positif terhadap multimedia interaktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan kaedah ini secara langsung meningkatkan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi guru di samping dapat mempelbagaikan kaedah pengajaran, tambahan lagi dapat melahirkan pelajar yang kreatif, inovatif, celik IT dan berilmu pengetahuan.


Sebanyak 88% responden bersetuju bahawa guru dan pelajar dapat mengakses pelbagai sumber pembelajaran dari pelbagai platform dalam talian serta dapat meningkatkan akses kepada maklumat dan pengetahuan yang luas. Hal ini dapat dibuktikan apabila penggunaan teknologi pada zaman kini semakin meningkat menyebabkan konsep “segalanya di hujung jari” menjadi relevan. Menurut kajian Noradilah binti Aziz dan Lai Wei Sieng (2019), yang melihat sejauh mana penggunaan dan penguasaan pelajar dalam teknologi sebagai bahan bantu belajar untuk memperoleh maklumat tanpa sempadan yang keseluruhannya membuktikan penggunaan teknologi maklumat seperti laman sesawang dan media sosial memberi impak dalam meningkatkan prestasi pelajar.


Mengikut kajian ini, pembelajaran abad ke-21 menerapkan penguasaan dalam aspek kreatif, pemikiran kritikal, kolaboratif, dan komunikasi yang juga dikenali sebagai 4C. Sejumlah 76% responden bersetuju dengan pernyataan ini. Tujuan bagi pembentukan Pengajaran dan Pembelajaran abad ke-21 ini juga adalah untuk menerapkan perkara tersebut. Menurut dapatan kajian Muhammad Sabri Sahrir (2020), menunjukkan tentang taburan kekerapan dan peratusan kreativiti dalam konsep 4C bagi guru-guru bahasa Arab dan kekerapan tertinggi ialah guru menggalakkan pelajar mengeluarkan pendapat dalam bahasa Arab. Selain itu, guru juga mengajukan soalan yang meneroka pandangan pelajar dalam PDP Bahasa Arab. Seterusnya, guru juga menggalakkan PDP secara berkumpulan dan menggunakan peta pemikiran untuk menjana idea pelajar dalam PDP Bahasa Arab. Akhir sekali, guru juga menggalakkan kaedah perbincangan dalam kumpulan dalam PDP Bahasa Arab bagi meningkatkan aspek komunikasi.


 


KESIMPULAN


Kesimpulan dari kajian ini adalah bahawa Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) memainkan peranan penting dalam membawa perubahan dalam sistem pendidikan pada masa kini. Kajian ini juga menunjukkan bahawa penggunaan teknologi dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran abad ke-21 mempengaruhi perkembangan kemahiran digital pelajar pada dunia pekerjaan pada masa depan. Bukan itu sahaja, kajian ini juga menekankan bahawa guru perlu mempunyai tahap penguasaan Abad ke-21 yang tinggi agar sesi PdP dapat berjalan dengan lancar. Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) merujuk kepada pendekatan dan strategi pengajaran yang sesuai dengan keperluan pendidikan pada masa kini dengan memberi tumpuan kepada kemahiran dan kebolehan yang diperlukan oleh pelajar dalam abad ke-21. Terdapat beberapa kesimpulan yang dapat ditarik berdasarkan kajian ini seperti Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) menekankan pembelajaran yang berpusatkan murid, di mana guru memberi peluang kepada murid untuk berfikir secara kritis dan memberikan pandangan mereka mengenai topik pembelajaran. Ia juga turut melibatkan pembelajaran berdasarkan aktiviti di mana murid terlibat secara aktif dalam proses pembelajaran melalui aktiviti seperti kerja lapangan, simulasi, eksperimen dan penemuan. Selain itu, Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) juga mendorong pembelajaran secara kreatif dan memberi peluang kepada murid untuk meneroka dan menghasilkan idea yang pelbagai ketika pembelajaran di jalankan. Ini kerana dapat mendorong pembelajaran secara kolaboratif dan murid dapat bekerjasama dengan rakan sebaya untuk mencapai matlamat pembelajaran. Walaubagaimanapun ia juga menekankan pembelajaran yang kontekstual. Sebagai contoh pembelajaran turut dikaitkan dengan situasi dan kehidupan harian sebenar murid. Seterusnya, penggunaan teknologi dalam proses pembelajaran pada masa kini juga membuatkan pembelajaran yang lebih interaktif dan menarik. Sebagai contoh dengan menggunakan Augmented Reality dan Virtual Reality, murid dapat mengalami pembelajaran yang lebih mendalam dan nyata seperti yang dinyatakan oleh Creswell (2012). Ia juga dapat memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran abad ke-21 seperti kemahiran berfikir secara kritis, kreativiti, komunikasi, kolaborasi dan kemahiran berfikir analitikal. Pendekatan yang induktif turut dapat menarik perhatian murid dan membangkitkan rasa ingin tahu mereka melalui teknik-teknik seperti lontaran soalan KBAT, situasi berdasarkan tajuk dalam kehidupan dan rangsangan visual manakala ia juga melibatkan pendekatan interaktif antara guru dan murid berinteraksi secara digital melalui kaedah seperti penggunaan perisian interaktif. Dengan demikian, kajian ini memberikan penekanan kepada pentingnya adaptasi terhadap perubahan dalam pendidikan serta guru dapat memberi tumpuan kepada keperluan, kebolehan dan pengalaman murid dalam proses pembelajaran disamping membawa perubahan baru dalam dunia pendidikan dengan memberi tumpuan kepada pembelajaran yang relevan dengan keperluan pada masa kini dan membawa perubahan baru dalam dunia pendidikan.




RUJUKAN


  1. Amatan. (2020). Faktor Demografi, Efikasi Kendiri Guru, Amalan PdP Abad ke 21. AkademiaBaru https://www.akademiabaru.com/doc/ARSBSV18_N1_P17_36.pdf 

  2. Arbaa, R., & Jamil, H. (2017, July 7). Model Bersepadu Penerapan kemahiran Abad Ke-21 Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran. CORE. https://core.ac.uk/reader/132305150 

  3. Muhali, M. (2019, December 2). Pembelajaran Inovatif Abad Ke-21. https://journal-center.litpam.com/index.php/e-Saintika/article/view/126 

  4. DR. FARIDAH NAZIR, Apr 12, 2017, Buku Pengajaran dan Pembelajaran Abad 21 .

  5. Zamri Mahamod, Anita Abdul Rahman, Mohd Yusoff Mohd Nor, Bity Salwana Alias, Jamalul Lail Abdul Wahab, & Khadijah Abdul Razak. 2020. Sistem Pendidikan Di Malaysia: Sejarah Dan Cabaran Abad Ke-21. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Muka surat 413 – 448

  6. Zamri Mahamod, Anita Abdul Rahman, Mohd Yusoff Mohd Nor, Bity Salwana Alias, Mohd Hasani Dali, Norhasmah Othman, Norhayati Mohd Noor & Khadijah Abdul Razak. 2020. Profesion Keguruan Dan Pembangunan Insan. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Muka surat 406 - 448

  7. Ng Lee Ching, Hazura Abdul Rahim, Zubaidah Salamat (2020).TAHAP AMALAN PEMBELAJARAN ABAD KE-21 (PAK21):SATU KAJIAN KES. Jurnal Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan. IAB Institutional Repository. http://eprints.iab.edu.my/v2/1110/

  8. Saleh, N. S., & Rosli, M. S. (2019, June 1). Kepentingan Pembelajaran Abad ke 21 terhadap potensi Kebolehpasaran Modal Insan (the importance of 21st century learning on Human Capital Market Potential). Innovative Teaching and Learning Journal. https://itlj.utm.my/index.php/itlj/article/view/22

  9. Tuan Lasan, T. R., Mohd Aderi Che Noh, & Mohd Isa Hamzah. (2017). Pengetahuan, Sikap dan Kesediaan Murid Terhadap Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam Mata Pelajaran Tasawwur Islam. Tinta Artikulasi Membina Ummah 3(1). http://www.journaltamu.com/wp-content/uploads/2017/07/TAMU-Vol-31-June-2017-2.pdf

  10. Leon Benade. (2015, January 19). Teachers’ critical reflective practice in the context of twenty-first century learning. Open Review for Educational Research. https://www.tandfonline.com/doi/pdf/10.1080/23265507.2014.998159

  11. Mohd Taib, M. T., & Ramlee Mustapha. (2017). Kemudahan Prasarana dalam Pelaksanaan Mata pelajaran Teknologi Kejuruteraan, Lukisan Kejuruteraan dan Reka Cipta di Sekolah Menengah Harian Malaysia. Research Gate. https://www.researchgate.net/publication/317785315_Kemudahan_Prasarana_Dalam_Pelaksanaan_Mata_Pelajaran_Teknologi_Kejuruteraan_Lukisan_Kejuruteraan_dan_Reka_Cipta_di_Sekolah_Menengah_Harian_Malaysia

  12. Nur Fatin Shamimi Che Ibrahim, Nur Farahkhanna Mohd Rusli, Mohd Ra’in Shaari, & Kesavan Nallaluthan. (2021, March 31). Persepsi Pelajar terhadap Aplikasi Multimedia Interaktif dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21. ONLINE JOURNAL FORTVETPRACTITIONERS. https://penerbit.uthm.edu.my/ojs/index.php/oj-tp/article/view/6569/4182

  13. NORADILAH BINTI AZIZ, & LAI WEI SIENG. (2019, June 3). Impak Pendidikan Berasaskan Teknologi Terhadap Peningkatan Prestasi Pelajar di UKM. Jurnal Personalia Pelajar. https://www.ukm.my/personalia/wp-content/uploads/2019/08/Artikel-11_Dr-Lai-Wei-Sieng_FEP.pdf

  14. Bernie Trilling dan Charles Fadel,September 2009, ISBN: 978-0-470-55391-6, 21st Century Skills: Learning for Life in Our Times

https://ardian.id/wp-content/uploads/2018/10/21st_Century_Skills_Learning_for_Life_in_Our_Times____2009-3.pdf


  1. BERNARD TAHIM BAEL, SUPPIAH NACHIAPPAN, MASLINDA PUNGUT ,VOL 5 ISSUE 1 2021 (2.01.2021),ANALISIS KESEDIAAN GURU DALAM PELAKSANAAN KEMAHIRAN BERFIKIR ARAS TINGGI DALAM PEMBELAJARAN, PENGAJARAN DAN PEMUDAHCARAAN ABAD KE 21

https://www.mjsshonline.com/index.php/journal/article/view/241



Comments

Popular posts from this blog

Tugasan Individu: Pautan Video YouTube Berkaitan Inovasi & Teknologi Pendidikan